Persatuan Alumni SMK Lajau lantik Dr. Sharinah sebagai Penaung Sesi 2022-2023

By cikgufizi 16 Jun 2022, 13:34:17 Isu Semasa
Persatuan Alumni SMK Lajau lantik Dr. Sharinah sebagai Penaung Sesi 2022-2023

LABUAN: Persatuan Alumni SMK Lajau melantik ahli akademik Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Dr Sharinah Puasa sebagai penaung persatuan alumni tersebut.

Pengerusinya, Yusmita Md  Yunos, berkata Dr Sahrinah, 37, diyakini mampu membantu usaha mewujudkan jaringan dan hala tuju persatuan ke arah yang lebih baik.

“Penglibatan Dr.Sharinah diharap menyuntik idea-idea baharu dalam mencorak hala tuju persatuan dan dalam masa yang sama mewujudkan lagi satu cabang untuk membantu pihak sekolah dalam membentuk kemenjadian murid.

“Saya merakamkan terima kasih kepada beliau kerana bersetuju untuk turut sama menyumbang kembali kepada sekolah.”katanya pada sesi kunjungan bersama Ahli Jawatankuasa Persatuan di Aras 13 Bangunan Menara UMSKAL, baru-baru ini.

Ketika ini, Dr. Sharinah merupakan pensyarah kanan dan memiliki Doctor of Philosophy Department of Accounting and Finance dari University of Strathclyde, Scotland United Kingdom.

Selain itu, beliau yang juga merupakan bekas pelajar SMK Lajau pada tahun 1998 dan kini terbabit dalam banyak aktiviti pelajar peringkat fakulti dan universiti.

Yusmita berkata, pengalaman dan reputasi dimiliki Dr. Sharinah diyakini dapat membantu aspek pengurusan persatuan dan hal berkaitan program motivasi.

Sementara itu, Dr. Sharinah mengucapkan terima kasih kepada rakan dalam persatuan alumni dan SMK Lajau kerana memberi peluang kepada beliau untuk menyumbang idea mahupun pengetahuan kepada sekolah.

“Saya sedar amanah yang diberikan ini merupakan tanggungjawab yang besar terutama dalam sama-sama membentuk modal insan.

“Saya ambil cabaran memimpin persatuan alumni ini bagi menjadikannya sebagai persatuan yang mempunyai hala tuju yang konsisten sekaligus dapat menyumbang kepada warga sekolah keseluruhannya.

“Antara fokus awal yang menjadi keutamaan ialah menjadikan persatuan lebih tersusun dari segi pengurusan juga ingin menyumbang idea dalam Majlis Makan Malam bersempena Jubli Perak 25 tahun akhir tahun ini,”kata beliau yang pernah menimba pengalaman di PricewaterhouseCoopers (PwC) sebelum bersama dengan UMSKAL sebagai ahli akademik di Labuan Faculty of International Finance.

Turut hadir Timbalan Pengerusi, Izmanto Suratman dan Setiausaha, Ahmad Rafizi.

http://www.borneodailybulletin.com/persatuan-alumni-smk-lajau-lantik-dr-sharinah-sebagai-penaung/




Write a Facebook Comment

Komentar dari Facebook

Write a comment

Ada 9 Komentar untuk Berita Ini

View all comments

Write a comment